Kadang-kadang sebagai ibu bapa kita ada perasaan yang kuat untuk pastikan semua berjalan ikut jadual. Pukul 9 pagi buat subjek Matematik, pukul 10 pagi buat Bahasa Melayu dan seterusnya.
Sepatutnya kita sesuaikan pembelajaran ikut rentak dan keperluan anak-anak. Dan yang paling penting, anak-anak kita bukan robot.
Mereka bukan mesin yang boleh programkan untuk belajar pada waktu-waktu tertentu sahaja.
Setiap anak ada cara belajar yang unik, ada masa-masa tertentu di mana mereka lebih fokus dan ada minat yang berbeza.
Pembelajaran Melalui Minat
Bila kita terlalu tegas dengan jadual, kita kadang-kadang hilang peluang untuk anak-anak explore dunia mengikut pace mereka sendiri
Contohnya, kalau mereka tengah belajar subjek sains dan tiba-tiba ada topik yang menarik perhatian mereka, biarkan mereka mendalami topik itu.
Mungkin kita rasa, “Oh, ini di luar syllabus,” tapi siapa tahu, dari minat kecil tu, mereka boleh belajar sesuatu yang lebih besar?
Ilmu bukan semata-mata datang dari buku teks, tapi juga dari keinginan mereka untuk meneroka sesuatu yang baru.
Sebagai contoh, katakan anak sedang belajar tentang tanaman, tiba-tiba mereka berminat dengan bagaimana proses fotosintesis berlaku.
Mungkin kita boleh biarkan mereka buat eksperimen kecil tentang bagaimana cahaya mempengaruhi tumbuhan.
Apa yang bermula sebagai sesi singkat, mungkin bertukar jadi projek pembelajaran sepanjang minggu.
Ini bukan sahaja mengajar mereka sains, tetapi juga melibatkan kemahiran problem-solving, critical thinking dan kemampuan berdikari dalam mencari jawapan kepada soalan-soalan mereka.
Selain tu, kalau anak suka baca buku yang di luar syllabus atau suka buat aktiviti hands-on seperti berkebun, melukis atau coding, percayalah itu juga satu bentuk pembelajaran yang tak kurang pentingnya.
Kadang-kadang dunia luar buku memberi peluang kepada anak-anak untuk memahami konsep-konsep yang lebih mendalam melalui pengalaman.
Mereka bukan sahaja belajar teori, tetapi juga bagaimana teori tersebut diaplikasikan dalam kehidupan sebenar.
Jadual sebagai Panduan
Jangan risau kalau mereka tak sempat habiskan semua yang ada dalam jadual. Jadual tu sebenarnya cuma panduan, bukan sesuatu yang perlu diikuti dengan ketat setiap masa.
Apa yang lebih penting adalah anak-anak belajar sesuatu yang bermakna dan mampu mengaitkan apa yang mereka belajar dengan minat dan pengalaman hidup mereka.
Pembelajaran Semulajadi
Pembelajaran sebenar berlaku bila anak-anak curious dan ada kebebasan untuk explore apa yang mereka suka. Ini akan buat mereka lebih bersemangat, lebih teruja untuk belajar dan hasilnya, ilmu lebih mudah diserap.
Sebagai ibu bapa homeschool, kita boleh lihat perkembangan besar bila kita beri ruang untuk anak-anak buat apa yang mereka minat.
Bila mereka belajar kerana mereka minat, pembelajaran jadi lebih semulajadi. Mereka rasa tak dipaksa, dan dengan itu, minda mereka lebih terbuka untuk menerima ilmu baru. Mereka jadi lebih kreatif, lebih yakin untuk bertanya, dan lebih berani untuk mencuba perkara-perkara baru.
Baca juga: Homeschool Bukan Maraton Tanpa Henti
Keseimbangan yang Diperlukan
Jadi, penting untuk kita balance antara jadual dan kebebasan untuk explore. Jadual tu cuma panduan, bukan peraturan yang wajib diikuti 100%. Homeschool ni sebenarnya unik sebab kita ikut rentak anak-anak, bukan sebaliknya.
Dalam perjalanan homeschooling ni, kita ada peluang untuk kenal anak-anak kita dengan lebih mendalam.
Fahami apa yang mereka suka, bagaimana mereka belajar dengan paling efektif dan bantu mereka kembangkan minat serta potensi diri.

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama tinggalkan komen.