Bermain dan kanak-kanak memang tak boleh dipisahkan. Namun, dalam masa yang sama, anak-anak juga perlu dibimbing untuk belajar dari peringkat awal.
Lapan tahun pertama kehidupan kanak-kanak adalah tempoh kritikal di mana otak mereka berkembang dengan pesat. Pada waktu ini, rangsangan terhadap otak sangat penting untuk menyokong perkembangan kognitif mereka.
Jadi, bagaimana kita boleh seimbangkan antara bermain dan belajar?
Bagi saya, menggabungkan aktiviti bermain dengan pembelajaran adalah cara terbaik untuk mendidik anak-anak. Bermain sebenarnya adalah asas kepada pembelajaran awal kanak-kanak.
Unstructured Play
Setiap hari, saya beri peluang kepada anak-anak untuk melakukan ‘unstructured play’ atau ‘open-ended play’ iaitu mainan bebas tanpa objektif pembelajaran yang spesifik. Contohnya, mereka bebas melompat atas trampolin, bermain dengan mainan mereka sendiri, atau meneroka dunia sekeliling tanpa arahan yang khusus.
Structured Play
Namun begitu, saya juga selitkan sesi ‘structured play’, di mana pembelajaran lebih berstruktur dan terancang. Pendekatan ini membolehkan anak-anak belajar sambil bermain dalam suasana yang menyeronokkan dan bermakna.
Aktiviti seperti ini membantu mereka dalam tiga aspek utama: kognitif, psikomotor dan afektif.
Perancangan dan Pengajaran yang Berkesan
Dalam homeschool, saya lebih suka pendekatan “child-centered” dan banyakkan aktiviti “hands-on”.
Anak-anak bebas meneroka dan belajar melalui pengalaman mereka sendiri, dengan saya sebagai bimbingan. Apabila mereka terlibat secara langsung dalam aktiviti, pembelajaran itu lebih bermakna dan kekal dalam ingatan mereka.
Saya juga merancang bahan bantu mengajar yang bersesuaian dengan tema atau tajuk tertentu untuk memastikan pembelajaran berjalan lancar dan objektif tercapai.
Melalui aktiviti bermain sambil belajar ni, saya perasan perkembangan motor halus dan kasar, daya tumpuan, serta kemahiran menyelesaikan masalah anak-anak semakin meningkat.
Baca juga: Sensory Play: Kunci Perkembangan Deria Anak
Setiap ibu bapa mungkin ada pandangan yang berbeza, tetapi bagi saya, biarlah anak-anak di bawah usia 8 tahun belajar kerana minat dan kesediaan mereka.
Tiada yang lebih menggembirakan daripada melihat anak-anak bangun pagi dengan penuh semangat dan bertanya, “Mama, hari ini nak belajar apa?” Itu adalah tanda mereka seronok dan tak sabar untuk belajar.
Semoga usaha kita mendidik anak-anak ini dipermudahkan, dan semoga mereka terus belajar dalam suasana yang penuh kegembiraan dan kasih sayang. InsyaAllah, semoga Allah merahmati setiap langkah kita.

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama tinggalkan komen.