Blog

5 Tips Ajar Anak Empati

oleh Hanis Athirah dalam Parenting

Mengajar anak-anak tentang empati dan kasih sayang sejak kecil adalah penting. Kenapa? Sebab bila anak-anak belajar tentang empati, mereka jadi lebih peka dengan perasaan orang lain, lebih faham situasi di sekeliling dan paling penting, mereka akan membesar jadi individu yang prihatin dan baik hati.

Tapi macam mana nak ajar dua nilai ni dalam kehidupan seharian?

1. Tunjukkan dengan Contoh

Anak-anak ni, mereka belajar banyak daripada apa yang mereka nampak setiap hari. Jadi, cara paling mudah untuk ajar empati dan kasih sayang ialah dengan tunjukkan melalui tindakan kita sendiri. Bila mereka tengok kita membantu orang lain atau menunjukkan rasa prihatin, mereka akan mula faham bagaimana nak buat perkara yang sama.

Satu hari anak saya Qais ada nampak saya tengah layan sepupu dia yang tengah menangis sebab terjatuh masa main. Kita peluk, tenangkan dan cakap, “Alisya sakit ya, sakit dekat mana tu? Mamanys sapukan ubat.” Lepas tu, Qais pun datang, usap kepala sepupu dia dan cakap, “Tak apa, abang Qais ada kat sini.” Nampak tak? Anak-anak ni macam sponge, serap apa yang mereka tengok. Bila mereka nampak kita tunjukkan empati dan kasih sayang, mereka pun akan ikut cara yang sama.

 

2. Gunakan Cerita-Cerita yang Memupuk Empati

Bila baca buku cerita dengan anak-anak, kita boleh jadikan masa tu sebagai peluang untuk ajar tentang perasaan dan empati. Cerita selalu ada watak yang berhadapan dengan masalah atau perasaan yang berbeza-beza dan kita boleh gunakan tu untuk galakkan anak-anak fikir tentang perasaan orang lain.

Selain buku cerita, kadang-kadang saya guna situasi sebenar. Contohnya, bila kita nampak berita tentang orang yang ditimpa bencana, saya akan tanya anak-anak, “Macam mana perasaan mereka yang terpaksa tinggalkan rumah sebab banjir? Apa yang abang dan adik rasa kalau benda tu jadi kat kita?” Dengan cara ni, mereka belajar untuk fikir lebih dalam tentang perasaan orang lain.

3. Galakkan Anak Berbual Tentang Perasaan

Bercakap tentang perasaan adalah salah satu cara terbaik untuk anak-anak faham bahawa setiap orang ada perasaan yang berbeza, dan perasaan ni penting untuk difahami. Bila mereka faham perasaan orang lain, mereka mula tunjukkan empati.

Contohnya, suatu hari Lais nampak Qais sedih sebab tak dapat mainan yang dia nak. Saya pun ambil peluang tu dan tanya, “Lais rasa apa bila tengok Qais sedih?” Lepas Lais jawab, saya sambung tanya, “Kalau Lais ada dalam situasi yang sama, apa yang Lais rasa?” Soalan-soalan ni nampak simple, tapi ia sebenarnya galakkan anak-anak untuk mula fikir tentang perasaan orang lain dan diri sendiri.

4. Sertai Aktiviti yang Menggalakkan Kasih Sayang

Aktiviti yang melibatkan kerjasama dan berkongsi boleh jadi cara yang best untuk ajar anak tentang kasih sayang. Contohnya, buat projek DIY macam buat kad ucapan untuk kawan atau tolong buat kek untuk bawa ke rumah nenek. Masa buat tu, saya akan ceritakan betapa seronoknya bila kita beri sesuatu yang dibuat dengan penuh kasih sayang kepada orang lain.

Satu hari, Lais dan Qais bantu saya kemas baju-baju lama untuk didermakan. Mula-mula mereka tak faham kenapa baju-baju tu perlu diberikan kepada orang lain, tapi saya terangkan, “Ada orang lain yang tak cukup baju, jadi kita boleh bantu mereka dengan beri apa yang kita ada. Bila kita berkongsi, kita tunjukkan kasih sayang dan prihatin kepada mereka yang kurang bernasib baik.” Aktiviti macam ni bukan je ajar anak-anak tentang kasih sayang, tapi juga tentang pentingnya berkongsi rezeki dengan orang lain.

 

5. Ajar Mereka Tentang Meminta Maaf dan Memaafkan

Empati dan kasih sayang juga melibatkan kemampuan untuk meminta maaf dan memaafkan. Bila anak-anak buat silap, ajar mereka untuk meminta maaf dengan ikhlas. Contohnya, kalau Lais secara tak sengaja rosakkan mainan Qais, saya akan ajar dia untuk minta maaf. Tapi lebih dari tu, saya juga ajar Qais untuk memaafkan.

“Qais, abang tak sengaja. Kalau abang minta maaf, kita maafkan, ya?” Proses ni ajar mereka dua perkara, pertama, semua orang boleh buat silap, dan kedua, pentingnya untuk memaafkan orang lain bila mereka buat salah. Ini juga bantu mereka jadi lebih memahami dan pemaaf, dua sifat yang sangat penting dalam kehidupan sosial mereka nanti.

5 Tips Ajar Anak Empati

Empati dan Kasih Sayang, Asas kepada Kehidupan yang Bermakna

Baca Juga : Tips Jadi Lebih Peka Terhadap Keperluan Anak

Mengajar anak-anak tentang empati dan kasih sayang bukan sekadar untuk buat mereka jadi individu yang baik, tapi juga untuk bantu mereka membina hubungan yang bermakna dengan orang lain. Dengan tunjukkan contoh yang baik, bercerita, galakkan perbualan tentang perasaan, dan libatkan mereka dalam aktiviti yang mendidik kasih sayang, kita boleh bantu mereka faham dan amalkan nilai-nilai ni dalam kehidupan seharian.

Anak-anak kita mungkin masih kecil, tapi dengan bimbingan dan contoh yang kita tunjukkan, mereka akan membesar jadi individu yang penuh empati, kasih sayang, dan sentiasa prihatin terhadap perasaan orang lain. Dan itulah hadiah terbesar yang kita boleh beri pada mereka—kemampuan untuk lihat dunia dengan hati yang penuh kasih sayang.

parenting malaysiapeka keperluan anakempatiadab anak

Artikel Berkaitan

Seorang bekas guru KPM dan kini ibu yang tekad menjalankan homeschooling untuk anak-anak saya. Dengan pengalaman lebih daripada 10 tahun dalam bidang pendidikan, saya bersemangat untuk berkongsi sumber, tips dan pengalaman saya dalam perjalanan homeschooling di website ini. Saya juga hasilkan planner homeschool yang direka untuk membantu ibu bapa mengatur pendidikan anak-anak mereka dengan lebih efektif.

0 Komen

Kami tidak bertanggungjawab ke atas komen yang disiarkan di laman web ini. Setiap komen yang disiarkan adalah tanggungjawab pemilik komen tersebut. Anda dilarang menulis komen yang kesat, menyakitkan hati, di luar topik dan perkara yang melanggar undang-undang.

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama tinggalkan komen.

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

Langgan kemaskini terkini dari kami terus ke inbox E-mel anda.

Homeschool Hanis