Blog

Anak Sulung, Insan Pertama Ajar Kita Menjadi Ibu dan Ayah

oleh Hanis Athirah Rusli dalam Parenting
anak sulung

Anak sulung, dialah yang pertama kali buat kita rasa apa erti sebenar jadi seorang ibu atau ayah. Dia yang ajar kita macam mana rasanya pelukan kecil yang erat, tangisan tengah malam yang buat kita berjaga tanpa rasa penat dan senyuman pertama yang buat hati terusik dengan kebahagiaan yang tak terucap.

Pengalaman Pertama yang Berharga

Setiap langkah pertamanya, kita juga ikut belajar, sama-sama melangkah ke dunia baru sebagai ibu bapa, cuba buat yang terbaik walaupun banyak benda kita tak tahu.

Tapi dalam sibuknya kehidupan harian, kadang-kadang kita lupa yang anak sulung ni bawa tanggungjawab yang berat.

Dia yang dulu dapat sepenuh perhatian kita, sekarang perlu berkongsi kasih sayang dengan adik-adiknya.

Dia yang dulu jadi fokus hidup kita, kini mungkin perlu belajar berdikari lebih cepat sebab kita yakin dia mampu.

Tapi, pernah tak kita terfikir, mungkin dia rasa sunyi? Mungkin dia rasa perlu buktikan yang dia kuat walaupun hati dia masih nak perhatian kita macam dulu.

Tanggungjawab Berat Anak Sulung

Anak sulung selalunya kita jadikan contoh, jadi ‘role model’ untuk adik-adik. Kita selalu cakap, “Jadi abang/kakak yang baik, tunjukkan adik macam mana nak buat.” Tapi, dia juga masih seorang anak yang perlukan perhatian kita, yang masih nak rasa dimanjakan.

Kadang-kadang, dia juga perlukan masa untuk jadi diri dia sendiri, untuk rasa dia tak perlu selalu jadi yang paling dewasa dalam rumah.

Kita kena hargai anak sulung kita. Ingatkan dia yang kita nampak betapa besarnya tanggungjawab yang dia pikul. Luangkan masa hanya untuk dia, tanya apa yang dia rasa, apa yang dia nak dan dengarlah tanpa menghakimi.

Beritahu dia yang kita bangga dengan segala usaha dia. Peluk dia erat-erat, biar dia tahu yang walaupun hidup kita berubah, dia tetap anak istimewa yang pertama kali ajar kita erti jadi ibu atau ayah.

Perasaan Sunyi dan Kekuatan yang Tersembunyi

Anak sulung mungkin tak selalu tunjuk perasaan dia, mungkin dia pandai sembunyikan rasa sunyi atau tertekan. Tapi jauh di dalam hati, dia masih anak kecil yang perlukan kasih sayang kita.

Jadi, jangan biarkan dia rasa tersisih. Sentiasa ingatkan dia yang dia disayangi, dihargai dan tak pernah kurang pentingnya berbanding dengan adik-adik yang lain.

Setiap kali kita peluk dia, setiap kali kita ucapkan “terima kasih” atau “mama bangga dengan kamu,” kita sedang kuatkan ikatan antara kita dengan anak sulung kita.

Dia mungkin tak selalu kata apa yang dia rasa, tapi percayalah, setiap kata-kata kita tu akan kekal dalam hati dia, jadi sumber kekuatan dan kasih sayang yang dia akan bawa sepanjang hidupnya.

Baca juga: Cabaran jadi ibu

anak sulung

Jadi, hargailah dia, sayangilah dia, kerana dia adalah permata hati yang pertama kali buka pintu cinta dalam hidup kita.

ibu bapakasih sayangrole modelanak sulung

Artikel Berkaitan

Seorang bekas guru KPM dan sekarang ibu yang tekad homeschool anak-anak. Dengan lebih 10 tahun pengalaman dalam pendidikan, website ini saya hasilkan untuk kongsikan cara pembelajaran yang lebih fleksibel dan meaningful.

0 Komen

Kami tidak bertanggungjawab ke atas komen yang disiarkan di laman web ini. Setiap komen yang disiarkan adalah tanggungjawab pemilik komen tersebut. Anda dilarang menulis komen yang kesat, menyakitkan hati, di luar topik dan perkara yang melanggar undang-undang.

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama tinggalkan komen.

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

Langgan kemaskini terkini dari kami terus ke inbox E-mel anda.

Homeschool Hanis