Bila orang cakap homeschool buat anak rugi sebab tak sekolah, mula-mula memang rasa terasa hati juga. Kadang-kadang ada yang tanya dengan nada macam menyindir,
“Tak sayang ke anak tak sekolah macam budak-budak lain? Rugi la, nanti dia ketinggalan.” Mungkin pada mereka soalan tu remeh, tapi kita yang buat keputusan ni bukan sembarangan. Sebab kita tahu apa yang terbaik untuk anak-anak kita. Tapi tak semua orang nampak perkara tu.
Saya sendiri pernah lalui situasi tu. Banyak kali hadap soalan “Tak takut ke nanti anak tak pandai bersosial? Budak sekolah banyak aktiviti, homeschool tak sama.” Masa tu saya terdiam sekejap.
Tapi dalam hati, saya tahu, tak ada apa yang rugi. Anak-anak saya tak rugi apa-apa. Mereka belajar lebih dari sekadar duduk dalam kelas.
Pembelajaran Melalui Pengalaman
Yang orang tak nampak, homeschool bukan bermaksud kita duduk terperap dalam rumah. Anak-anak homeschool ni belajar dari pengalaman sebenar, bergaul dengan orang pelbagai umur, keluar meneroka alam dan belajar dalam persekitaran yang luas, bukan semata-mata empat dinding kelas.
Contohnya, satu hari tu kami pergi pasar, Lais dan Qais sibuk ikut bantu pilih barang. Mereka kira harga, buat keputusan mana yang lebih berbaloi, tanya pasal sayur-sayur kat situ. Dari situ mereka belajar matematik.
Contohnya banding harga, kira bajet. Mereka juga belajar sains. Mereka tanya dari mana sayur datang, apa beza organik dengan yang biasa. Hanya dari satu trip kecil ke pasar, mereka dah belajar banyak sangat perkara yang tak semua anak dapat rasa dalam bilik darjah.
Pasal sosial pula? Anak-anak homeschool bukan duduk terkurung, tak bergaul. Mereka bergaul dengan ramai orang, dari peniaga pasar, jumpa kawan-kawan masa field trip, sampai orang dewasa yang mereka jumpa masa keluar berjalan.
Mereka belajar cara bercakap, kemahiran komunikasi dan bagaimana nak berdepan dengan pelbagai situasi. Tak perlu duduk dalam kelas semata-mata untuk belajar semua tu.
Jadi, bila orang cakap rugi, saya cuma senyum. Sebab saya tahu, anak-anak saya belajar dengan cara yang berbeza.
Cara yang lebih fleksibel, yang ikut rentak dan minat mereka.
Saya tak risau soal “rugi” atau “ketinggalan,” sebab setiap hari saya nampak sendiri perkembangan mereka.
Mereka belajar, bukan setakat buku, tapi belajar tentang hidup. Dan bagi saya, itu tak ternilai.
Baca juga: Kami bukan anti sekolah

Yang penting, kita buat keputusan ni dengan hati. Bukan sebab nak ikut orang atau nak buktikan apa-apa. Homeschool ni jalan kita, untuk anak-anak kita. Apa yang orang nak cakap, itu hak mereka.
Yang penting, kita tahu kenapa kita buat keputusan ni dan kita percaya dengan apa yang kita pilih untuk anak-anak.
Tiada komen lagi. Jadi yang pertama tinggalkan komen.