Blog

Pelajaran Penting untuk Membesarkan Anak Lelaki

oleh Hanis Athirah Rusli dalam Parenting
anak lelaki
Nak didik anak lelaki bukanlah perkara yang mudah.

Nak ajar mereka jadi individu yang mentalnya sihat, penuh empati, hormat, bertanggungjawab, baik hati, tabah dan berdisiplin memerlukan usaha dan kesabaran yang besar.

Bukan apa, anak-anak lelaki inilah yang akan lead keluarga mereka nanti.

Dekat sini saya share sikit nota parenting berdasarkan apa yang belajar iaitu 7 pelajaran penting untuk membesarkan anak-anak lelaki yang sihat mentalnya.

Kecerdasan Emosi (Emotional Intelligence)

Didik anak lelaki untuk kenal dan faham pelbagai jenis emosi yang ada.

Lelaki pun ada perasaan sedih, dan mereka perlu tahu bahawa ekspresi perasaan ini adalah normal, bukan tanda kelemahan.

Elakkan cakap “lelaki tak boleh menangis.” Ajar mereka untuk tarik nafas dalam-dalam dan tenangkan diri bila marah, kerana Nabi Muhammad SAW sendiri mengajarkan pentingnya menahan marah dan mengawal emosi.

Tunjukkan contoh dengan cara kita urus emosi sebab anak-anak belajar dari apa yang mereka lihat setiap hari.

InsyaAllah mereka akan jadi lebih tenang dan bijak mengurus emosi mereka sendiri.

Tanggungjawab (Responsibility)

Ajar anak lelaki untuk mengambil tanggungjawab atas tindakan mereka. Kalau mereka buat salah, minta maaf dan cuba perbaiki kesilapan.

Biar mereka akui kesalahan mereka dan hadapi akibat semula jadi dari pilihan mereka. Jangan terlalu kawal atau sentiasa backup anak bila mereka buat silap. Biar mereka belajar dari kesilapan tu.

Selain itu, penting juga ajar anak lelaki bahawa tanggungjawab kerja di rumah bukan tugas perempuan sahaja.

Semua orang dalam keluarga ada peranan masing-masing. Anak lelaki juga perlu belajar buat kerja rumah seperti memasak, membersihkan rumah dan menjaga adik-beradik.

Dengan cara ni, insyaAllah mereka akan jadi lebih bertanggungjawab dan belajar untuk hadapi realiti hidup dengan lebih baik.

Hormati (Respect)

Ajar anak lelaki untuk menghormati semua orang, tidak kira latar belakang atau status, adalah asas penting dalam membentuk mereka menjadi individu yang beradab.

Dalam Islam, menghormati ibu bapa, guru dan orang yang lebih tua adalah satu tuntutan yang wajib dipatuhi.

Tunjukkan hormat melalui tindakan kita sendiri, seperti mendengar dengan penuh perhatian bila orang lain bercakap.

Anak-anak belajar melalui contoh, jadi penting bagi kita sebagai ibu bapa untuk sentiasa menunjukkan sikap hormat dalam interaksi harian kita.

Contohnya, bila berbual dengan orang tua, tunjukkan kesopanan dengan mendengar tanpa memotong percakapan mereka.

Ketabahan (Perseverance)

Ajar anak lelaki untuk tidak mudah menyerah dan terus berusaha walaupun susah.

Bila gagal dalam sesuatu, galakkan mereka untuk cuba lagi dan bersabar.

Kesabaran adalah kunci dalam Islam untuk menghadapi dugaan hidup. Berikan sokongan dan dorongan bila mereka hadapi cabaran.

Bantu anak untuk fokus menyelesaikan masalah, bukan hanya beremosi.

Ajarkan mereka untuk tenang dan berfikir dengan jelas dalam setiap situasi. Fokus pada penyelesaian masalah bukan pada nafsu amarah semata.

Disiplin Diri (Self-Discipline)

Bantu anak belajar kawal diri, sama ada dalam tingkah laku, emosi atau penggunaan masa.

Tetapkan matlamat dan kerja keras untuk capainya.

Ajar anak untuk solat pada waktunya, sebagai contoh disiplin yang penting dalam Islam.

Ciptakan rutin harian yang membantu anak membina disiplin diri seperti waktu belajar dan waktu bermain yang seimbang.

Anak lelaki akan menjadi pemimpin dalam keluarga yang dibinanya nanti.

Jadi, mereka perlu ada asas agama yang kukuh untuk membimbing keluarga dan anak-anak mereka kelak.

Empati (Empathy)

Empati memang kunci untuk hubungan yang harmoni. Galakkan anak-anak kita untuk selalu cuba faham perasaan orang lain.

Contohnya, kalau nampak kawan sedih, ajar mereka tanya “Awak okay tak?” Ini bukan sahaja menunjukkan empati, tapi juga mengajar anak-anak kita untuk jadi lebih prihatin terhadap perasaan orang lain.

Islam pun ajar kita untuk selalu menyantuni orang lain dan ada perasaan belas ihsan.

Empati juga membantu anak lelaki kita jadi pemimpin yang lebih baik.

Seorang pemimpin yang empati akan lebih mudah memahami keperluan dan perasaan orang-orang di bawahnya. Ini menjadikan mereka lebih bijak dalam membuat keputusan dan lebih dihormati.

Kebaikan (Kindness)

Ajarlah anak-anak untuk buat kebaikan walaupun sebesar zarah.

Ingatkan mereka bahawa buat baik bukan untuk pandangan dan nilai di mata orang, tapi biarlah ikhlas dan hanya Allah yang tahu.

Kebaikan adalah asas dalam ajaran Islam dan telah dicontohkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam setiap aspek kehidupan baginda.

Baginda selalu menunjukkan sifat kebaikan dan kasih sayang, bukan sahaja kepada sesama manusia, tetapi juga kepada haiwan dan alam sekitar.

Aktiviti harian juga boleh digunakan untuk mengasah sifat kebaikan dalam diri anak-anak. Contohnya, ajak mereka untuk sertai program kebajikan, membantu jiran yang memerlukan atau menjaga haiwan peliharaan dengan baik. Semua ini adalah cara praktikal untuk menanamkan nilai kebaikan dalam diri mereka.

Baca juga: Cara Urus Emosi Anak Tanpa Marah-Marah

anak lelaki

Risau sangat dengan bermacam kes sekarang.  Semoga anak-anak lelaki kita membesar jadi individu yang kuat dari segi emosi, mampu melindungi yang lemah dan tak akan menindas orang lain untuk menunjukkan kekuatan mereka.

empatihormatbertanggungjawabanak lelaki

Artikel Berkaitan

Seorang bekas guru KPM dan sekarang ibu yang tekad homeschool anak-anak. Dengan lebih 10 tahun pengalaman dalam pendidikan, website ini saya hasilkan untuk kongsikan cara pembelajaran yang lebih fleksibel dan meaningful.

0 Komen

Kami tidak bertanggungjawab ke atas komen yang disiarkan di laman web ini. Setiap komen yang disiarkan adalah tanggungjawab pemilik komen tersebut. Anda dilarang menulis komen yang kesat, menyakitkan hati, di luar topik dan perkara yang melanggar undang-undang.

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama tinggalkan komen.

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

Langgan kemaskini terkini dari kami terus ke inbox E-mel anda.

Homeschool Hanis