Bila kita homeschooling, realitinya setiap anak belajar dengan cara yang berbeza. Apa yang berkesan untuk seorang anak tak semestinya sesuai untuk yang lain dan saya memang nampak sangat benda ni pada anak-anak saya.
Kedua-dua mereka ada minat dan gaya belajar yang berbeza, jadi pendekatan saya pun kena ikut rentak masing-masing.
Pendekatan Berbeza untuk Anak Sulung dan Anak Kedua
Contohnya, anak sulung saya Lais jenis yang tenang, suka membaca dan explore fakta. Dia boleh duduk lama dengan buku atau bahan bacaan, cuba faham sesuatu dengan mendalam.
Dia dengar arahan dengan baik dan suka susun langkah satu per satu, tapi dia mudah rasa stress kalau dia tak dapat tangkap sesuatu dengan cepat.
Bila topik yang dia belajar jadi terlalu susah, macam tatabahasa atau topik sains yang lebih rumit, dia akan mula rasa tertekan.
Masa tu saya kena beri dia ruang, reassure dia yang tak apa kalau lambat faham, kita boleh ulang pelajaran sampai dia selesa.
Qais pula, anak kedua saya sebaliknya. Seorang anak yang tak boleh duduk diam. Kalau saya ajar tentang bahagian-bahagian haiwan, saya tunjuk gambar kucing, dia bukan sekadar nak lukis semula kucing tu, tapi dia tambah sekali tanduk, sayap dan cermin mata, buat versi sendiri!
Dia memang kreatif, selalu tambah benda yang tak ada dalam pelajaran.
Masa belajar, dia suka lompat-lompat, melukis atau main-main, tapi anehnya dia cepat faham walaupun nampak macam tak fokus. Dia sentiasa ceria, belajar dengan tak serius, dan suka bermain sambil belajar. Dia perlukan aktiviti yang lebih aktif dan visual untuk kekal engaged.
Cabaran saya adalah mengimbangkan kedua-dua gaya belajar ni. Lais perlukan suasana yang tenang dan fokus, manakala Qais perlukan kebebasan untuk bergerak dan berimaginasi.
Menyesuaikan Cara Pengajaran
Kalau Lais belajar dengan buku atau latihan bertulis, Qais pula perlukan aktiviti yang membenarkan dia gunakan kreativiti.
Jadi, saya belajar untuk sesuaikan cara ajar ikut gaya mereka masing-masing.
Bila ajar Lais, saya akan beri dia ruang untuk mendalami topik, dengan banyak membaca dan diskusi yang lebih tenang.
Tapi bila sampai giliran Qais, saya kena kreatif, campur aduk pelajaran dengan aktiviti yang lebih interaktif dan visual, macam ajar sambil dia lukis atau buat projek kecil yang boleh dia explore sendiri.
Apa yang saya sedar, tak ada satu cara yang betul untuk semua anak. Lais mungkin lebih fokus dan teliti, tapi dia perlukan masa untuk memahami sesuatu secara mendalam.
Qais pula nampak tak serius, tapi dia tangkap cepat dan boleh olah idea dengan cara yang kreatif. Homeschool beri saya peluang untuk teroka cara terbaik untuk setiap anak belajar.
Saya tak perlu paksa mereka ikut satu pendekatan, tapi saya boleh ikut rentak mereka sendiri.
Baca juga: Jenis Anak Yang Sesuai Homeschooling
Pada akhirnya, homeschooling bukan tentang siapa yang belajar paling cepat atau siapa yang paling teratur.
Homeschool adalah tentang memberi peluang kepada setiap anak untuk belajar dengan cara yang paling sesuai untuk mereka.Fleksibiliti ni adalah kelebihan terbesar homeschooling, sebab saya dapat bantu anak-anak berkembang dengan cara masing-masing.
Dan saya sendiri belajar bahawa setiap perbezaan ni bukan halangan, tapi kekuatan yang boleh kita raikan.

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama tinggalkan komen.