Setiap hari kita selalu berazam ingin mendidik anak sebaik mungkin supaya mereka berjaya dalam kehidupan mereka di dunia dan akhirat. Kita juga berharap agar kita dapat menjadi insan yang lebih baik dari semalam.
Tapi, tiada gunanya jika terlalu banyak ilmu tapi tiada Al Quran di dada. Ikhtiar dan kesungguhan kita sebagai ibu bapa dalam mendidik anak-anak mendalami Al-Quran, Insyaa Allah ianya dapat memberi syafaat di akhirat kelak.
Saya pun masih bertatih dan belajar untuk mantapkan diri sambil didik anak hafal Surah yang terkandung dalam Al-Quran. Target kecil untuk anak-anak sekarang-kurang dapat capai Learning Standard dalam Kurikulum Homeschool kami.
Saya usaha cari ilmu untuk dalami serta mudahkan kefahaman anak menghafal surah melalui pemerhatian, pembacaan, keinginan dan logik akal. Jadi terdetik hati ingin berkongsi disini supaya dijadikan self-reminder dan sebarkan sedikit ilmu yang ada. Semoga bermanfaat insyaAllah.
Niat dan Doa
Niat dan doa kepada Allah semoga dipermudahkan kita mendidik anak dan semoga mendapat keredhaan Allah sentiasa. Doa yang dipanjatkan bukan satu perkara sampingan tapi antara tunjang kekuatan untuk anak kita berjaya menghafaz Al Quran.
Suasana Menghafal yang Konsisten
Wujudkan suasana menghafal yang konsisten, sekejap pun tak mengapa. Kalau boleh tiap-tiap hari sentiasa konsisten. Otak anak seperti span yang mudah menyerap, ulang dan ulang setiap hari.
Jangan Putus Asa
Bila sudah cuba, tapi anak masih lagi tak dapat-dapat, jangan putus asa. Usaha lagi dan berdoa pada Allah agar dipermudahkan urusan kita dalam menghafal surah dalam Al Quran. Perkara baik, yakinlah bahawa Allah akan berikan pertolongan.
Ulang Secara Santai
Ulang secara santai bacaan surah anak. Semasa mereka bermain boleh, semasa jalan-jalan hirup udara segar dengan mereka pun boleh. Tidak ada jalan pintas, yang penting ulang banyak kali. Saya juga suka selitkan penceritaan kepada anak-anak. Barulah mereka faham dengan lebih mendalam apa yang mereka baca dan hafal.
Pasang Audio Al-Quran
Pasang audio Al Quran di rumah semasa anak berada dalam keadaan yang tenang. Boleh juga selang selikan dengan bacaan doa dan zikir. Boleh juga guna headphone untuk menambah keterujaan sambil mereka bertambah fokus anak untuk mendengar bacaan surah.
Tasmik dalam Keadaan Tenang
Tasmik dalam keadaan anak dan diri kita berada dalam keadaan tenang. Memarahi atau membentak langsung tidak membantu tapi dapat memalapkan terus niat mereka untuk mendalami ilmu Al-Quran.
Sebagai contoh, boleh lakukan dalam kereta ketika dalam perjalanan ke sesuatu destinasi. Anak-anak lebih tenang dan fokus serta tiada medium lain yang boleh mengalih perhatian mereka.
Rendahkan Expectation
Dalam kelancaran anak untuk menghafal, rendahkan expectation dan kurangkan perbandingan. Tanam dalam minda, setiap anak berbeza progress masing-masing. Fokus kelebihan mereka bukan kelemahan. Yang penting nilaikan proses bukan hasilnya.
Banyakkan Bersabar
Banyakkan bersabar. Menegur boleh tetapi gunakan suara yang tenang saja. Jangan masukkan emosi sehingga menengking anak. Ambil masa, tegur secara berulang dengan sabar lebih baik insyaAllah lebih berkesan. Tunjukkan cara bacaan yang betul, biar anak nampak mulut kita untuk sebutan huruf yang tepat.
Rutin Sebelum Tidur
Tidur adalah satu aktiviti yang kita lakukan setiap hari dan dalam sehari kita semua akan menghabiskan satu pertiga masa dengan tidur. Buat persediaan sebelum tidur, jadikan rutin mengalunkan ayat suci Al Quran sebelum tidur. InsyaAllah, bila dah menjadi kebiasaaan anak akan mudah mengingati surah lazim yang dibaca bersama.
Jaga Pemakanan
Jaga pemakanan anak-anak dan pastikan mereka makan dari sumber rezeki yang halal. Elakkan makan ringan dan amalkan banyak makanan sunnah seperti madu, kurma, delima dan sebagainya.
Baca juga: Penting Ajar Anak Adab yang Baik

Masa terbaik untuk didik anak menghafal surah Al-Quran ialah sekarang. Jom kita didik anak, bukan semata untuk penuhi asas kurikulum mengikut umur mereka, tapi sebagai bekalan untuk dibawa ke sana nanti.
Tak perlu rushing sangat untuk hafal semua surah, relaks-relaks janji usaha untuk praktiikan selalu. Yang seronok, bukan anak je boleh menghafal, kita pun boleh. Doakan kita bersama yaaa.
Yang baik itu datang daripada Allah, yang tidak baik itu adalah atas kesilapan dan kekhilafan saya sendiri. Maaf yaa atas yang kurang. Semoga bermanfaat insyaAllah.
Tiada komen lagi. Jadi yang pertama tinggalkan komen.