Bermain puzzle bukan sekadar aktiviti menyeronokkan untuk anak-anak tapi sebenarnya adalah salah satu cara terbaik untuk membantu perkembangan visual dan motor halus mereka.
Puzzle bukan sahaja membantu anak berfikir secara logik, tetapi juga melatih koordinasi mata dan tangan, menguatkan kemahiran menyelesaikan masalah, dan meningkatkan kesabaran.
Dalam artikel ini, kita akan lihat bagaimana bermain puzzle boleh memberi manfaat besar kepada anak-anak dan bagaimana mainan ini dapat menyokong perkembangan mereka secara menyeluruh.
Meningkatkan Kemahiran Berfikir Logik
Bermain puzzle memerlukan anak-anak untuk memikirkan bagaimana kepingan-kepingan boleh disusun dengan betul, sekaligus mengasah kemahiran berfikir logik mereka. Aktiviti ini membantu anak memahami hubungan antara bentuk, warna dan ruang.
Melatih Koordinasi Mata dan Tangan
Setiap kali anak mengambil dan meletakkan kepingan puzzle, mereka sedang melatih koordinasi mata dan tangan. Ini sangat penting dalam membina kemahiran motor halus yang akan berguna dalam aktiviti seperti menulis dan melukis.
Menguatkan ‘Pincer Grasp’ dan Otot Tangan
Ketika anak mencuba untuk memegang dan mengangkat kepingan puzzle, mereka menguatkan otot-otot tangan yang digunakan untuk kemahiran halus seperti menulis. Aktiviti ini juga memperkuatkan ‘pincer grasp’, iaitu pergerakan jari telunjuk dan ibu jari yang digunakan dalam pelbagai aktiviti harian.
Mengajar Kesabaran dan Daya Tahan
Menyusun puzzle boleh jadi cabaran buat anak-anak, terutamanya jika ia melibatkan kepingan yang kecil dan kompleks. Namun, melalui cabaran inilah mereka belajar untuk bersabar dan terus berusaha hingga berjaya menyelesaikannya.
Meningkatkan Pengetahuan tentang Bentuk dan Ruang
Dengan memerhati dan menganalisa bentuk serta ruang antara kepingan puzzle, anak-anak belajar tentang konsep spatial. Ini sangat berguna dalam perkembangan kognitif mereka, kerana mereka belajar mengenali saiz, bentuk dan ruang secara visual.
Meningkatkan Hubungan antara Ibu Bapa dan Anak
Bermain puzzle bersama anak adalah peluang baik untuk mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak. Setiap kali anak meminta bantuan atau bertanya soalan tentang bagaimana menyelesaikan puzzle. Ini akan menjadi momen yang berharga untuk berkomunikasi dan bekerjasama.
Menggalakkan Kerjasama dan Interaksi Sosial
Jika anak bermain puzzle bersama rakan atau adik-beradik, mereka akan belajar untuk bekerjasama dan berbincang. Aktiviti ini mengajar mereka cara berkomunikasi dan bekerja dalam satu pasukan untuk mencapai matlamat yang sama.
Mengembangkan Kreativiti dan Imaginasi
Puzzle bertema, seperti haiwan, alam semula jadi atau kenderaan, boleh merangsang imaginasi anak. Mereka bukan sahaja belajar mengenal pasti objek atau makhluk dalam puzzle, tetapi juga boleh mempelajari lebih lanjut tentang topik tersebut semasa bermain.
Boleh menguji keseimbangan dengan menyusun kepingan puzzle secara menegak. Anis pun tahu bila nampak Afraz yang susun macam tu.
Baca juga: Cara Kira Attention Span Anak

Bermain puzzle bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga membantu meningkatkan kemahiran berfikir, motor halus, perkembangan visual, kesabaran dan pengetahuan spatial anak-anak.
Dengan menggabungkan aktiviti puzzle ke dalam rutin harian mereka, anak-anak bukan sahaja akan lebih bersedia untuk pelajaran yang lebih kompleks, tetapi juga dapat membina kemahiran hidup yang penting .
Tiada komen lagi. Jadi yang pertama tinggalkan komen.