Soalan yang paling saya kerap terima: Kenapa homeschool? Kenapa tak hantar anak ke sekolah swasta? Kenapa antara banyak-banyak cabang pilihan pendidikan anak, homeschool juga yang dijadikan pilihan? Dah lah cabang pilihan ni tak mudah. Tapi kenapa saya pilih dan teruskan?
Sebenarnya, keputusan yang kami ambil bukan dibuat sehari dua. Keputusan yang kami ambil bukan berdasarkan kehendak semata-mata, dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa. Tapi inilah pilihan kepada jalan yang saya dan suami tercinta, Cikgu Loh, ingin tempuhi bersama.
Kami faham bahawa keputusan untuk homeschool membawa erti tanggungjawab yang lebih besar. Ia memerlukan komitmen yang tinggi, kesediaan untuk belajar sebagai ibu bapa pendidik, dan juga pengorbanan yang besar, terutama melibatkan wang, masa, dan tenaga.
Begitulah, tapi kami tetap tekad. Dengan melibatkan pertimbangan yang mendalam dan penelitian yang sangat teliti, melalui banyak perbincangan, refleksi diri, dan memahami keperluan unik setiap anak, saya dan suami tekad memilih pilihan pendidikan homeschool untuk keluarga kecil kami.
Jika ditanya kenapa memilih, jujur beginilah jawapan kami. Kami inginkan pembelajaran holistik buat anak-anak kami. Kami mula sedar bahawa nilai sebenar pendidikan tidak semata-mata terletak pada pencapaian akademik, tapi juga melibatkan pembangunan keseluruhan anak-anak dari segi emosi, rohani, dan sosial.
Dengan homeschool, kami melihat peluang untuk mengasah potensi setiap anak dengan cara yang lebih mendalam. Kami percaya setiap anak mempunyai bakat dan minat yang unik, dan homeschool memberi kami kebebasan untuk mengejar minat mereka dengan lebih bersemangat.
Kami suka fleksibiliti dalam pembelajaran. Sebab itu, kami tidak memilih jenis haluan pendidikan lain buat masa ini. Anak-anak boleh belajar di mana-mana dan bila-bila masa sahaja. Kami boleh menyesuaikan jadual pembelajaran mengikut kecenderungan mereka, menjadikan proses pembelajaran lebih efektif dan menyeronokkan.
Ini juga memberi kami kebebasan untuk travel atau buat aktiviti lain tanpa perlu risau ketinggalan pembelajaran. Homeschooling membolehkan kami mengintegrasikan pengalaman sebenar ke dalam pengajaran mereka, seperti mengunjungi tempat bersejarah, belajar tentang kepelbagaian budaya, atau memahami alam semula jadi.
Dalam homeschool, hubungan kami jadi lebih rapat. Kami bukan sahaja ibu bapa, tetapi juga kawan-kawan pembelajaran. Kadang-kadang, belajar boleh jadi seperti bermain. Kami suka membuat eksperimen sains di dapur, membaca buku sambil bersila di taman, atau memperkukuhkan kemahiran matematik dengan bermain permainan papan.
Masa seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada anak-anak untuk belajar, tetapi juga memberi peluang kepada kami untuk mengenali mereka dengan lebih dekat, menghargai keunikan masing-masing, dan mencipta kenangan manis bersama-sama.
Adalah normal kalau ada orang yang tak setuju dengan pilihan yang kami ambil ni. Tapi, kita hidup bukan untuk puaskan hati orang lain. Pilihan yang diambil untuk kita dan keluarga nikmati. Walaupun berbeza, namun inilah tekadnya. Kami tetap fokus kepada apa yang terbaik untuk keluarga kami dan teruskan memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak kami, insyaAllah
Tiada komen lagi. Jadi yang pertama tinggalkan komen.